JASIN: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video tular menerusi media sosial yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dimuat naik di TikTok sehingga berpotensi mencemarkan imej pasukan itu.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata kandungan berkenaan memaparkan dua anggota polis lelaki mengiringi serta memegang tangan seorang wanita dipercayai bergari di belakang, di hadapan sebuah bangunan tertera tulisan Balai Polis Merlimau.
Advertisement
“Siasatan dijalankan susulan laporan diterima daripada seorang pegawai polis di Balai Polis Merlimau kira-kira 1.04 tengah hari tadi selepas pengadu melihat video yang dimuat naik di TikTok kira-kira 12.50 tengah hari sebelum membuat laporan.
“Siasatan awal mendapati video itu dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI sebelum dimuat naik,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata laporan dibuat kerana kandungan itu berpotensi mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta balai polis terbabit.
Kes berkenaan, katanya kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA