IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima beberapa arahan khusus daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melengkapkan siasatan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, antara arahan khusus itu ialah mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

“Tindakan sedang diambil oleh pihak pegawai penyiasat kes. Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak AGC dalam masa terdekat setelah semua tindakan atau laporan diperolehi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu Mohd Yusri berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada 6 November lalu dengan cadangan pertuduhan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kertas siasatan itu kemudian dirujuk kepada AGC Putrajaya pada 9 November untuk dan nasihat selanjutnya. 

Pada 8 November, Mohd Yusri berkata, polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan kes buli di MCKK dan telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 November.

Sebelum ini, tular di laman Instagram yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Ekoran daripada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu.