IPOH: Polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin.

"Siasatan telah pun selesai dan kertas siasatan juga sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular di laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya polis sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan pada 24 September lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu.