KUALA LUMPUR: Polis kini telah menahan lapan warga asing bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh melibatkan tiga lelaki warga Sri Lanka di sebuah rumah sewa di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul di sini, pada 22 Sept lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua mereka berusia lingkungan usia 20-an hingga 40-an, termasuk dua suspek utama warga Sri Lanka yang ditahan Isnin lepas dan sepasang suami isteri juga warga Sri Lanka yang ditahan pada hari kejadian.

Turut ditangkap pada Isnin ialah tiga lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga Pakistan kerana disyaki memberi perlindungan kepada dua suspek utama itu.

"Dua suspek pertama iaitu sepasang suami isteri warga Sri Lanka telah ditahan pada hari kejadian dan reman ke atas mereka disambung hingga 5 Okt ini selepas tempoh reman berakhir 29 Sept lepas.

"Bagaimanapun suami pasangan tersebut dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan pada Sabtu lepas, sekali gus menjadikan baki keseluruhan hanya tujuh suspek masih direman untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas program Back To School di sekolah Victoria Institution di sini hari ini.

Beliau berkata tiga lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga Pakistan tersebut telah ditahan di sebuah rumah teres di Petaling Jaya, dekat sini.

"Hasil soal siasat ke atas mereka akhirnya membawa kepada penahanan dua suspek utama terbabit. Tempoh reman ke atas mereka tamat pada hari ini dan polis akan membuat permohonan untuk menyambung reman bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian 11 malam itu, polis menemukan tiga mayat lelaki dalam sebuah bilik stor di kediaman pasangan suami isteri dalam keadaan bertindan dengan tangan terikat manakala kepala mereka disarungkan dengan beg plastik di sebuah bilik stor rumah kedai di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, di sini.

Dua daripada mayat berkenaan merupakan penyewa bilik dalam premis itu manakala seorang lagi merupakan anak lelaki kepada pasangan suami isteri berkenaan

Dalam pada itu, Allaudeen berkata kematian seorang daripada suspek dalam tahanan tidak menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu kerana kertas siasatan sudah hampir siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam minggu ini.

"Siasatan berhubung kematian itu telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman," katanya.

-- BERNAMA