Kes bunuh dan bakar: Tertuduh OKU tidak faham pertuduhan

Hakim Rahman
Disember 19, 2017 09:07 MYT
Mahkamah menangguhkan sebutan kes bunuh dan bakar empat sekeluarga kepada 26 Januari selepas tertuduh seorang OKU tidak faham pertuduhan yang dibacakan tehadapnya.
Mahkamah Majistret Teluk Datuk menangguhkan sebutan kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Kuala Langat selepas tertuduh yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Majistret Mohd Isa Md Nor menangguhkan sebutan kes sehingga 26 Januari depan bagi membolehkan jurubahasa isyarat dilantik membantu tertuduh, Khang Chang Heng, 38, yang juga merupakan oku.
Keputusan dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md Ali mengemukakan permohonan supaya mahkamah menyediakan jurubahasa isyarat dan menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes.
BACA: Tragedi Tg Sepat: Datuk, nenek dan cucu ditetak sebelum dibakar - Polis
Terdahulu semasa prosiding, tertuduh tidak memberi sebarang reaksi sejurus pertuduhan pertama membunuh seorang warga emas, dibacakan terhadapnya kerana masalah pekak dan bisu.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Chia Tee Nang, 73, di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, antara jam 4 hingga 5 pagi, 13 Disember lalu.
Difahamkan, lelaki berkenaan berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 324 kanun yang sama.
BACA: Empat maut dalam kebakaran rumah di Tanjung Sepat
Dalam kejadian 13 Disember lalu, empat sekeluarga terdiri daripada pasangan warga emas dan cucu mereka ditemui maut dalam kebakaran kira-kira 6.08 pagi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73, Lim Mai Shak, 68, dan dua kanak-kanak, iaitu Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 10.
BACA: Tragedi Tg Sepat: Cucu nampak kelibat suspek - Polis
#bakar #bomba #bunuh #CSI #kebakaran #khianat #Kuala Langat #mahkamah #OKU #pembunuhan kejam #polis #Polis Diraja Malaysia #rentung #suspek #tanjung sepat #Tetak #tetakan