KUCHING: Operasi mencari mayat kanak-kanak hilang Eric Chang Wei, 4, yang dipercayai dibunuh dan dibuang daripada sebuah jeti di Kampung Muara Tebas diperluaskan dua hingga tiga batu nautika daripada muara sungai kampung berkenaan ke arah laut.

Operasi memasuki hari kedua ini melibatkan 20 anggota penyelamat daripada pasukan Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Berdasarkan maklumat di Pusat Operasi Muara Tebas, anggota keselamatan menjalankan operasi seawal jam 8:00 pagi menggunakan tiga jentera iaitu bot PSC 11 Pasukan Polis Marin (PPM), bot aluminum JBPM, dan bot Kilat 35 (Maritim Malaysia).

Pada 7 Mac lalu, Eric dilaporkan hilang pada jam 9.00 pagi di Jalan Daya, Bintawa dekat sini yang kali terakhir menggunakan kemeja-T berwarna biru gelap dan berseluar pendek berwarna hitam.

Operasi melibatkan 20 anggota penyelamat daripada pasukan Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). - Foto Astro AWANI

Susulan laporan tersebut, polis menahan empat suspek termasuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan pasangan penjaga bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata pihaknya telah mengklasifikasikan kehilangan kanak-kanak berkenaan sebagai kes bunuh.

“Kedua dua suspek yang merupakan pasangan penjaga ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan terkini, polis mengklasifikasikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 7 Mac lalu, Eric dilaporkan hilang pada jam 9:00 pagi di Jalan Daya, Bintawa. - Foto Astro AWANI

Sebelum ini kata Ahsmon, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung orang hilang dan kecuaian dan pengabaian penjagaan kanak-kanak.

Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.