MALAYSIA
Kes bunuh penuntut: Tiga remaja ditahan, suspek mengenali mangsa - Polis

Polis akan membuat permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga remaja termasuk dua perempuan berusia antara 19 dan 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar universiti di sebuah unit kediaman di Cyberjaya, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan antara jam 9 pagi semalam dan 2 pagi hari ini.
Katanya operasi melibatkan pasukan dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
“Kesemua tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima."Kesemua suspek juga mengenali mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norhizam, pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelakkan tindakan melanggar undang-undang.
Berdasarkan laporan Astro AWANI sebelum ini, mangsa Maniishapriet Kaur, 20 tahun, yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati oleh rakannya di dalam bilik asramanya di Cyberjaya sekitar jam 10 pagi Selasa.
Mangsa yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Mangsa dijadualkan menghadapi peperiksaan pada hari dia ditemui mati.
Selain itu, beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang, disyaki dilarikan suspek.
Semalam, Norhizam berkata, polis sudah merakam percakapan 14 individu termasuk rakan serumah dan pensyarah bagi membantu siasatan kes pembunuhan ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami