MALAYSIA
Kes bunuh penuntut: 14 individu termasuk rakan serumah, pensyarah direkod keterangan

Maniishapriet Kaur yang berasal dari Kuching, Sarawak ditemukan mati di dalam bilik asramanya pada jam 10.28 pagi, Khamis lalu. - Foto media sosial
SEPANG: Polis sudah merakam percakapan 14 individu termasuk rakan serumah dan pensyarah bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi sebuah universiti swasta di Cyberjaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, beberapa individu lain akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak bank berhubung transaksi yang dibuat menggunakan kad pengeluaran automatik (ATM) milik mangsa, Maniishapriet Kaur Akhar selepas kematiannya.
“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya pembunuhan ini dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Kuching, Sarawak ditemukan mati di dalam bilik asramanya pada jam 10.28 pagi, Khamis lalu.
Mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. Mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat, dan punca kematian disahkan akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami