PETALING JAYA: Penduduk sekitar kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai mengakui trauma dengan kes pembunuhan kejam membabitkan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Rata-rata daripada mereka ditemui Sinar Harian terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil dan remaja mengakui perasaan takut dan trauma dengan kejadian itu.

Seorang penduduk, Rosman Salleh, 48, berkata, dia kini mengambil sikap berwaspada dan memantau pergerakan anaknya termasuk menghantar dan mengambil anak di sekolah.

"Sebelum ini, anak naik van ke sekolah dan bila turun dan dia naik sendiri ke tingkat tiga, jadi lepas ini saya pesan pada isteri jangan biar anak naik sendiri kena tolong tunggu di bawah," katanya.

Rosman berkata, keluarganya tinggal di kawasan penempatan itu sejak awal pembukaan iaitu sekitar 2001.

Dalam pada itu, Mariani Awang, 42, pula berkata, kejadian itu menyebabkan kawasan perumahan itu berubah sekelip mata dan 'keriangan' kanak-kanak bermain juga sudah tidak kelihatan.

"Selepas kes ini, budak-budak sudah tidak berani berkeliaran. Dulu biasanya pagi-pagi sudah ada yang bermain di taman.

"Mungkin ibu bapa risau tentang keselamatan anak dan saya sendiri sentiasa berpesan kepada anak agar tunggu dalam kawasan (sekolah) jika saya lambat ambil dari sekolah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Leawati, 47, turut mengakui agak risau dengan keselamatan anaknya yang masih bersekolah di sekolah rendah.

"Saya sudah tujuh tahun tinggal di Park Avenue agak jauh dari lokasi kejadian, namun tetap risau dengan keselamatan anak sebab kawasan itu adalah kawasan laluan kami," katanya.

Terdahulu, siasatan polis dalam kes bunuh Zayn Rayyan menjurus dua fasa demi merungkai termasuk mengenal pasti siapa dalang di sebalik pembunuhan kanak-kanak autistik itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, untuk fasa pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.

Bagi fasa kedua pula, katanya, siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih kurang 2,400 rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat Zayn Rayyan ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan maklumat forensik.

Ditanya mengenai suspek, Hussein mengakui maklumat terhad menyebabkan pihak polis memerlukan sedikit masa untuk merungkai siapa dalang di sebalik pembunuhan itu.

Beliau berkata, pembunuhan Zayn Rayyan bukan kes yang 'straight forward' menyebabkan pihak polis perlu mengumpul lebih banyak maklumat dan bukti.

Hussein turut mengingatkan ibu bapa bahawa mereka mempunyai tanggung jawab berat menjaga anak masing-masing, justeru tidak mengabaikan dan meninggalkan mereka berseorangan atau meletakkan mereka dalam situasi tidak selamat.

Ini termasuk perkara yang boleh menyinggung sensitiviti keluarga. Jangan mengeruhkan lagi keadaan, beri kepercayaan dan ruang kepada pihak polis untuk siasat sehingga tertangkapnya pihak yang terlibat. - Sinar Harian