KENINGAU: Kes positif COVID-19 di Sabah masih terkawal walaupun mencatatkan jumlah kes tertinggi pada Khamis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata situasi terkawal tersebut merujuk kepada kadar penularan (infectivity rate) mengikut nisbah penduduk.

"Kes di Sabah amat tinggi tetapi kadar penularan masih terkawal.

"Kita perlu beralih kepada kiraan kadar jangkitan mengikut ratio (nisbah) jumlah penduduk.

"Jumlah kes baharu di Sabah hari ini (2052) lebih tinggi daripada  Negeri Sembilan (899), Pulau Pinang (1,299) dan hampir 5 kali ganda lebih tinggi dari Melaka.

"Tetapi kadar penularan COVID-19 di Sabah lebih rendah berbanding Pulau Pinang (52-69), lebih rendah dari Negeri Sembilan (52-79), sama dengan Melaka (52-52)," jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Berikut adalah kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia mengikut negeri berdasarkan maklumat kes COVID-19 pada Khamis yang dikongsikan dalam kenyataan tersebut:;

Selangor - 96 kes
Kuala Lumpur - 137 kes
Johor - 45 kes
Sabah - 52 kes
Sarawak - 43 kes
Negeri Sembilan - 79 kes
Kedah - 110 kes
Pulau Pinang - 69 kes
Kelantan - 50 kes
Perak - 37 kes
Melaka - 52 kes
Pahang - 37 kes
Terengganu - 47 kes
Labuan - 11 kes
Putrajaya - 49 kes
Perlis - 9 kes

"Mungkin ada yang mengatakan kita sudah gagal membendung penularan COVID-19 di negeri ini jika hanya melihat angka semata-mata dan mungkin kesimpulan itu ada asasnya.

"Barangkali kiraan kadar jangkitan (infectivity rate) mengikut ratio (nisbah) jumlah penduduk ini boleh menjadi kaedah kiraan yang lebih tepat untuk menentukan samada tinggi atau rendahnya tahap penularan dan jangkitan dalam kalangan penduduk," jelas kenyataan itu lagi.