Kes culik Pastor Raymond Koh: Polis temui petunjuk baharu

Harits Asyraf Hasnan
Januari 16, 2018 12:08 MYT
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan polis akan meneruskan siasatan berhubung kes tersebut. - Foto Fail
Polis menemui petunjuk baharu yang mengaitkan tertuduh, Lim Chang Nam dalam kes penculikan pastor Raymond Kong Keng Joo pada awal tahun lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan polis akan meneruskan siasatan berhubung kes tersebut.
Semalam, Chang Nam didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan wang sebanyak RM30,000 daripada anak lelaki Raymond pada 13 Februari lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.
BACA: Polis ambil keterangan Peter Chong bantu siasatan kes Pastor Koh
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
BACA: Polis sahkan paderi diculik ketika memandu di Petaling Jaya
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi mengelak mangsa diganggu dan menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes.
BACA: Polis tubuh pasukan khas kesan paderi yang hilang - KPN Khalid
Raymond diculik pada pagi 13 Februari lalu di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya.
Paderi itu dipercayai diculik beberapa individu ketika sedang memandu kenderaannya bersendirian di jalan tersebut.
#Azali Ibrahim #culik #Ketua Polis Negara #Lim Chang Nam #Mohamad Fuzi Harun #Pastor Raymond Koh #peras ugut #Seksyen 365 Kanun Keseksaan