Kes kecurian 21 komputer riba di rumah sewa penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Seri Iskandar di sini, sejak dua bulan lalu terbongkar selepas dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan masing-masing diberkas di Kuala Lumpur dan Selangor bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata lelaki Pakistan berumur 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur manakala lelaki warga tempatan berumur 27 tahun ditahan di Klang, Selangor, susulan laporan polis berhubung kejadian pecah rumah dan curi 21 komputer riba di rumah sewa penuntut IPT di kawasan berkenaan.

"Polis turut merampas empat komputer riba, tiga telefon bimbit, peranti smart tag, buku resit dan sebuah kereta Toyota Altis yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki warga tempatan itu adalah ketua kumpulan manakala lelaki Pakistan pula bertindak sebagai pembeli.

"Suspek menyasarkan rumah pelajar di Seri Iskandar dan melakukan kegiatan itu pada waktu sembahyang Jumaat dan pagi.

"Mereka juga sasarkan rumah yang mempunyai pintu gelongsor kaca (sliding door) kerana ia lebih mudah (masuk), di mana kita juga dapati kebanyakan pelajar yang tinggal beramai-ramai biasanya tidak mengunci pintu berkenaan, dan suspek mengambil kesempatan itu," katanya.

Katanya kerugian bagi kecurian komputer riba berjumlah kira-kira RM34,000 dan barang terbabit dipercayai dijual di Kuala Lumpur pada harga sekitar RM750 hingga RM800.

Menurut Mohamad Zainal, siasatan mendapati suspek terlibat dalam lebih tujuh kes yang sama, dengan turut menyasarkan rumah pelajar di luar Perak seperti di Ampang, Selangor; Mergong, Kedah dan sekitar kawasan Perai di Penang.

"Kita masih siasat dan mengenal pasti laporan polis berkaitan kegiatan yang dilakukan kumpulan itu di luar kontinjen Perak," katanya dan menambah suspek warga tempatan itu mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau juga membabitkan kes pecah rumah.

Tambahnya, polis masih giat mengesan tiga lagi lelaki berusia 20-an yang juga dipercayai terbabit dalam kegiatan itu termasuk seorang daripada mereka yang juga adalah pembeli, untuk membantu siasatan lanjut.

-- BERNAMA