Sarawak Energy mengesahkan bahawa pihaknya kini memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan suspek yang terlibat dalam pengubahsuaian meter haram dan aktiviti mencuri tenaga elektrik miliknya.

Dalam kenyataan ringkasnya sebentar tadi, syarikat itu mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah dan menuntut semua kakitangannya mematuhi segala kod etika kerja yang ditetapkan.

Pejabat Pengurusan Risiko Pemalsuan Sarawak Energy katanya, telah menyediakan mekasnisme untuk membolehkan orang awam melaporkan mana-mana kakitangan syarikat itu yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

“ Mana-mana pihak yang telah terbukti bersalah dan terlibat rasuah, mereka adalah tertakluk kepada undang-undang,” katanya lagi.

BACA: Rasuah pegawai Sesco: Empat individu ditahan

SPRM dalam kenyataannya petang tadi memaklumkan penahanan empat individu termasuk dua wanita semalam kerana disyaki memberi rasuah bulanan kepada pegawai Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (Sesco), anak syarikat Sarawak Energy sejak tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan pemberian melebihi RM27,000.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 37 hingga 41 tahun itu ditahan sekitar jam 5.00 petang hingga 5.40 petang di Pejabat SPRM Miri dan Sibu selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti mengubah bayaran bil elektrik serta melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Dua daripada suspek merupakan ‘runner’ untuk beberapa premis di sekitar bandar raya Miri dan Sibu untuk kegiatan tersebut.

SPRM kemudian melakukan penggeledahan di kediaman kesemua suspek berkenaan di sekitar Miri dan menemui lebih 90 unit meter elektrik, lebih 600 unit ‘meter front cover’ dan 590 unit ‘meter base’ yang telah diubah suai dengan nilai anggaran mencecah ratusan ribu ringgit, termasuk lebih 100 bil elektrik pelanggan yang dipercayai telah diubah jumlah bayarannya.

Suspek-suspek terbabit dipercayai telah mengurangkan bil elektrik sehingga 75 peratus daripada jumlah bayaran asal.

Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.