KUALA LUMPUR: Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia antara tiga lelaki ditahan di dua lokasi berasingan kerana disyaki terlibat sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan, pada 13 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kesemua suspek yang berusia 24 hingga 40 tahun itu, telah bergiat aktif dalam sindiket itu sejak hujung tahun lepas, sebelum menjual semula kenderaan itu dengan harga lebih murah di Thailand.

Beliau berkata dalang sindiket itu yang dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak, manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Ahmad Sukarno berkata polis turut merampas dua buah kereta dan peralatan untuk mencuri, serta beberapa keping nombor plat pendaftaran palsu, dengan menyasarkan kenderaan jenis Honda dan Pajero.

"Kesemua suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 14 hingga 18 Mei bagi membantu siasatan," katanya dan menambah kesemua suspek telah diserahkan kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes di daerah tersebut.

Berikutan itu, polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, polis turut menumpaskan Geng Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal susulan penahanan tiga lelaki berusia 24 hingga 32 tahun secara berasingan di Setapak dan Gombak, di sini, pada 12 Mei lepas.

Ahmad Sukarno berkata hasil soal siasat, polis telah menemukan 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak dengan kumpulan penjenayah itu dipercayai membuang rangka itu ke dalam sungai untuk menghapuskan bukti.

"Kesemua motosikal yang dicuri itu akan dileraikan terlebih dahulu, sebelum ia dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal," katanya.

Ahmad Sukarno berkata dengan penahanan itu, polis telah menyelesaikan sebanyak 23 kes kecurian motosikal dengan 19 kes daripadanya dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

"Kesemua suspek direman sejak 18 hingga 22 Mei dan tempoh reman dilanjutkan sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu Ahmad Sukarno berkata pihaknya menahan tiga lelaki disyaki terlibat kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju, di sini, dalam serbuan Op Rentap di sekitar ibu negara pada 10 Mei lepas.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di sini, kira-kira 7.30 malam, 22 Mac dan hasil risikan, beberapa siri serbuan telah dijalankan di sekitar ibu negara pada 10 Mei, dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun.

"Polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing," katanya.

Ahmad Sukarno berkata sindiket itu diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun manakala dua daripada tiga lelaki itu mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan susulan daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

"Semua suspek direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan dan suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya.

-- BERNAMA