KUALA LUMPUR: Seorang ahli kimia di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengesahkan bahawa, 19 beg plastik iaitu dua ketulan mampat dan 17 pokok dalam pasu yang diterima daripada anggota polis pada Mac tahun lalu, disahkan dadah jenis kanabis.

Saksi pendakwaan pertama, Dr J Saravanan Kumar yang bertugas di Bahagian Narkotik, Jabatan Kimia Malaysia berkata demikian ketika perbicaraan hari pertama kes dadah membabitkan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin.

Ketika membaca pernyataan saksinya, saksi berusia 48 tahun ini berkata, dapatan berkenaan diperoleh selepas membuat analisis terhadap barangan terbabit.

Kesemua bahan bukti yang telah bermeteri Polis Diraja Malaysia (PDRM) katanya, diterima daripada Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz pada 4.18 petang, 28 Mac tahun lalu.

“Saya menjalankan satu analisis yang terdiri empat kaedah ujian ke atas pokok-pokok itu iaitu pemeriksaan fizikal secara visual.

“Didapati pokok itu ialah sejenis tumbuhan yang sama (kanabis) dan tiada bahan asing,” katanya.


Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai penanaman dan penjagaan pokok kanabis, Saravanan Kumar berkata, penanaman kanabis memerlukan biji benih, pencahayaan dan suhu yang sesuai.

Menurutnya, berdasarkan hasil pembacaan, penanaman kanabis merupakan satu proses yang memerlukan pemilihan biji benih yang sesuai termasuk pemilihan tanah, baja, serta sumber cahaya ‘indoor’ atau outdoor’ untuk membolehkannya bercambah.

Raja Zaizul Faridah: Jika tiada cahaya yang sesuai, pencambahan kabanis tidak boleh belaku?

Saravanan Kumar: Ya.

Raja Zaizul Faridah: Menyentuh sumber pencahayaan secara ‘indoor’, bagaimanakah cara atau kaedah yang diperlukan untuk penanaman ganja?

Saravanan Kumar: Jika penanaman secara ‘indoor’ sumber cahaya yang digunakan ialah menerusi sinar UV.

Raja Zaizul Faridah: Sebentar tadi, Dr ada maklum mengenai ketinggian pokok ganja itu, paling rendah ialah 8cm, berdasarkan pengetahuan Dr selaku ahli kimia, boleh berikan anggaran jangka masa pokok kanabis ini telah ditanam?

Saravanan Kumar: Saya bukan pakar penanaman, tetapi berdasarkan ilmu pembacaan saya, (jika 8cm) ia mungkin berusia satu atau dua minggu.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi ini dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Selasa.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian