KUALA LUMPUR: Tokoh perniagaan, Tan Sri Tajudin Ramli, dilaporkan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung transaksi syarikat penerbangan Malaysian Airline System (MAS).

CNA melaporkan, Tajudin yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, sebelum ini mempunyai kepentingan mengawal MAS.

Laporan itu menyebut, siasatan itu adalah berhubung rancangan kontroversi oleh kerajaan pada awal 2000 untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Sumber SPRM memberitahu CNA bahawa agensi itu sedang menyiasat sama ada terdapat unsur rasuah dalam transaksi itu, yang dipromosikan secara aktif oleh Daim.

Daim dikatakan meyakinkan kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membayar Tajudin RM1.79 bilion, atau RM8 sesaham, untuk kepentingan kawalannya. Pada masa itu, saham syarikat penerbangan nasional itu didagangkan sekitar RM3 sesaham, yang meletakkan nilai pegangan ekuiti ahli perniagaan itu pada kira-kira RM718 juta.

Tajudin, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, lapor CNA.

BACA: Daim Minta Dibicara Kerana Gagal Isytihar Harta, Termasuk 25 Hartanah Dan 38 Syarikat

BACA: Senarai Aset Daim Zainuddin

Selain Tajudin, CNA melaporkan, SPRM turut menyiasat beberapa urusan perniagaan membabitkan taikun perniagaan Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Robert Tan Hua Choon, yang masing-masing mempunyai hubungan rapat dengan Daim.

Bagaimanapun, Halim dan Robert tidak dapat dihubungi untuk memberi komen lanjut, lapor CNA.

Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM berhubung perkara ini.

Siasatan terhadap pegangan kewangan Daim bermula pada Mei 2023 dan beliau dituduh pada 29 Januari lalu kerana gagal mematuhi notis SPRM supaya mengisytiharkan harta.

CNA dalam laporan sama turut menyatakan ahli perniagaan Singapura yang juga pemaju hartanah terkenal di Malaysia, Datuk Seri Akbar Khan disiasat atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah oleh SPRM.

Ahli perniagaan berusia 83 tahun yang merupakan pemegang saham utama pemaju projek mewah BRDB Developments Sdn Bhd, ditahan untuk disoal siasat minggu lalu, lapor CNA yang memetik sumber pegawai kanan SPRM serta peguam yang mengikuti rapat kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan seorang ahli perniagaan dan pemaju hartanah Singapura telah dipanggil untuk membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan terhadap individu berprofil tinggi di Malaysia.

Ahli perniagaan itu juga telah diperintahkan untuk mengisytiharkan hartanya dan pegangan kewangan keluarganya.

"Saya boleh mengesahkan bahawa lebih ramai orang dijangka dipanggil untuk disoal siasat dalam masa terdekat berhubung siasatan ini," katanya.