Kes demam denggi di Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Jan sehingga 8 Feb, mencatatkan penurunan 35.4 peratus atau 261 kes, berbanding 350 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan dalam kenyataan di sini, hari ini berkata daerah Seremban merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 197, diikuti Jempol (17 kes), Tampin dan Rembau, masing-masing 13 kes, Port Dickson dan Jelebu, dengan lapan kes serta Kuala Pilah, lima kes.

Katanya tiada kes kematian disebabkan oleh demam denggi dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga 8 Feb berbanding tiga kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

"Pada 8 Feb lepas, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah tujuh lokaliti di mana kesemuanya di daerah Seremban," katanya.

Beliau berkata aktiviti pencegahan dan kawalan tetap diteruskan dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes, selain aktiviti hapuskan larva (larvisid), semburan pengasapan, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong melibatkan masyarakat.

-- BERNAMA