GEORGE TOWN: Kes demam denggi di Pulau Pinang merekodkan sebanyak 595 kes sejak awal Januari hingga 24 Sept lepas iaitu meningkat sehingga 93.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 308 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Ma'arof Sudin berkata, bagaimanapun, setakat ini tiada kematian membabitkan kes demam denggi direkodkan di negeri itu.

"Berdasarkan statistik, jumlah kes pada tahun ini lebih rendah berbanding kes sebelum pandemik COVID-19 iaitu menurun sebanyak 26.2 peratus pada 2020 dengan 806 kes direkodkan dan penurunan sebanyak 83.4 peratus (3,574 kes) pada 2019," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ma'arof berkata, kejadian wabak denggi yang dilaporkan setakat 24 Sept adalah sebanyak 42 wabak, berbanding hanya tujuh wabak pada tempoh yang sama pada 2021.

Beliau berkata, daripada 42 wabak denggi yang dilaporkan itu, sebanyak 33 wabak telah tamat manakala sembilan wabak masih aktif.

Ma'arof berkata, pihaknya menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Katanya, sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 24 Sept juga sejumlah 312,711 premis di negeri itu telah diperiksa dan sebanyak 445 kompaun membabitkan nilai RM222,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan nyamuk aedes.

''Kompaun itu dikeluarkan menurut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154)," katanya.

Menurut beliau, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mencegah tempat pembiakan nyamuk bagi memastikan penyakit demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk. - BERNAMA