Kes demam denggi di seluruh negara diramal menjadi lebih buruk tahun ini berbanding tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sebanyak 26,533 kes telah dilaporkan sejak Januari hingga Rabu lalu.

Menurutnya jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 1,400 kes berbanding 25,028 kes dalam tempoh sama tahun lepas, lapor Bernama.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 55 kematian direkodkan di seluruh negara berbanding 65 kematian bagi tempoh sama tahun lepas, serta lebih 2,800 kes baharu denggi dilaporkan setiap minggu di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi Mobile iDengue hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diwakili menteri berkenaan Datuk Seri Madius Tangau.

Dr Subramaniam berkata kes denggi dijangka meningkat atas faktor termasuk kebersihan persekitaran, pemungutan sampah yang tidak berjadual, sikap rakyat yang tidak bertanggungjawab selain nyamuk Aedes yang merupakan vektor utama wabak denggi.

"Kewujudan aplikasi Mobile iDengue meningkatkan lagi keberkesanan kaedah penyaluran maklumat mengenai status denggi dengan mudah, cepat dan tepat kepada pengguna," katanya.

Dr Subramaniam berkata Selangor mencatatkan jumlah kes baharu demam denggi tertinggi dengan 13,306 kes atau 70 peratus daripada jumlah di seluruh negara.

Ia berlaku atas faktor-faktor dari segi kepadatan penduduk dan jenis penempatan yang ada di negeri itu, katanya.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan, sebanyak 18 kematian direkodkan di Selangor diikuti dengan sembilan kematian di Pulau Pinang dan Terengganu manakala Negeri Sembilan (5), Johor (3), Sarawak (3), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2) serta Pahang (2).

Ini diikuti dengan masing-masing satu kes kematian bagi negeri Kedah, Melaka, Kelantan dan Sabah.