PUTRAJAYA: Jumlah kes deman denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 iaitu dari 7 Mei hingga 13 Mei meningkat 14.6 peratus kepada 2,242 kes berbanding 1,956 kes pada minggu sebelumnya dengan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 41,175 kes berbanding 14,724 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 179.6 peratus.

Sementara itu, katanya sejumlah 26 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding sembilan kematian bagi tempoh yang sama pada 2022.

Beliau berkata sebanyak 87 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ME ke-19 sama seperti minggu sebelumnya dengan 49 lokaliti berada di Selangor, 22 lokaliti di Pulau Pinang, tujuh lokaliti di Sabah, lima lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Kedah dan satu lokaliti di Perak.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 130 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,087 sampel darah dan 45 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

-- BERNAMA