TANAH MERAH: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan peningkatan lebih 250 peratus kes denggi bagi enam bulan pertama tahun ni, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata peningkatan sebanyak 251.7 peratus itu adalah bagi tempoh Januari hingga 17 Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 830 kes berbanding 236 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Satu kematian dilaporkan akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan berbanding tahun lalu sebanyak dua kematian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong-Rotong Mega 1.0 Perangi Aedes dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean UP Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Masjid Iktikaf Manal Jaya 2, di sini hari ini.

Dr Zaini berkata pihaknya menjangkakan kes denggi terus meningkat berikutan pergerakan orang ramai dari bandar-bandar besar semasa Aidiladha dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Pergerakan orang ramai ini berkemungkinan akan memberi risiko penularan di negeri ini selain keadaan cuaca tidak menentu, ia satu keadaan kondusif untuk nyamuk aedes membiak.

"Justeru itu, semua pihak disarankan sentiasa memastikan kawasan di kediaman seperti lorong belakang rumah, kawasan kebun tanaman serta tanah lot kosong yang berhampiran bebas daripada bekas-bekas berpotensi yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Dr Zaini berkata One Hour Malaysia Clean Up merupakan salah satu komponen advokasi dan mobilisasi sosial Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan tahap kebersihan persekitaran bagi mencegah peningkatan penyakit demam denggi.

"KKM menyeru agar usaha ini disambut baik oleh masyarakat dengan melakukan aktiviti gotong-rotong secara sukarela selama satu jam setiap bulan di setiap kawasan perumahan, tempat kerja, institusi pendidikan bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes," katanya.

-- BERNAMA