Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan 145 kes denggi di seluruh negeri itu, sejak 1 Jan lepas sehingga semalam, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Ia menunjukkan penurunan 53.4 peratus berbanding 311 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Daripada 145 kes itu, Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 70 kes diikuti Kemaman (19), Kuala Nerus (16), Besut (14), Dungun (11), Marang (tujuh), Hulu Terengganu (lima) dan Setiu (tiga).

"Sepanjang tempoh itu juga, sembilan lokaliti wabak denggi direkodkan yang mana tujuh daripadanya telah berakhir secara berperingkat kecuali di Kampung Banggol dan Seberang Baroh di Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya orang ramai perlu memanfaatkan masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membersihkan persekitaran rumah dan mencari serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Dr Nor Azimi berkata antara faktor penurunan kes denggi adalah pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti gotong royong secara berkala yang dilakukan sebelum ini.

"Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, pergerakan manusia ke lokaliti wabak juga berkurangan dan ini secara tidak langsung menurunkan risiko jangkitan denggi.

"Untuk rekod, hanya 51 kes denggi direkodkan di Terengganu sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lepas hingga semalam," katanya.

-- BERNAMA