KUALA TERENGGANU: Jumlah kumulatif kes demam denggi di Terengganu bagi tempoh Januari hingga Sabtu lepas (20 Nov) menunjukkan penurunan sebanyak 90.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata sepanjang tempoh itu, hanya 37 kes demam denggi dilaporkan berbanding 374 kes tahun lepas.

"Pada tahun ini, daerah yang mempunyai bilangan kes denggi tertinggi ialah Kuala Terengganu iaitu 12 kes diikuti Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus masing-masing lima kes, Kemaman (empat kes), Besut (tiga kes) dan Dungun (tiga kes).

"Tiada kes demam denggi dilaporkan di Setiu.

"Setakat ini juga, tiada kes kematian denggi dilaporkan di Terengganu. Hanya dua episod wabak telah didaftarkan berbanding 23 episod wabak pada masa yang sama tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun berlaku penurunan kes denggi yang sangat ketara, Dr Kasemani berkata jabatan tetap mempergiatkan aktiviti kawalan dan pencegahan antaranya 228 program gotong-royong yang telah dilaksanakan di seluruh negeri.

"Sebanyak 45,493 premis telah dibuat semburan kabus dan 86,019 premis telah dibuat larvisiding (membunuh jentik-jentik).

"Selain itu, pegawai dan penguat kuasa jabatan juga telah membuat pemeriksaan terhadap 124,575 premis dan daripada jumlah itu, kami dapati 1,579 premis positif menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Sehingga kini sebanyak 397 kompaun telah dibayar dengan nilai RM63,240," katanya.

Ketika ini Terengganu mula memasuki musim monsun dan terdapat beberapa kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti lopak-lopak air, kawasan longkang yang bertakung dan sebagainya.

"Sehubungan itu, orang ramai perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kawasan perumahan selepas banjir tidak menjadi habitat untuk nyamuk Aedes bertelur.

"Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes serta meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas air besar yang perlu digunakan," katanya.

-- BERNAMA