Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa kes demam denggi yang menunjukkan trend peningkatan sejak empat minggu lepas dijangka terus meningkat sehingga awal tahun depan sekiranya tindakan segera tidak diambil.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Chong Chee Kheong juga tidak menolak kemungkinan kejadian wabak denggi yang tinggi pada 2010 akan berulang jika situasi sekarang berterusan.

Beliau menegaskan dengan situasi yang membimbangkan itu, penglibatan masyarakat untuk menghapuskan dan mengurangkan tempat pembiakan Aedes adalah diperlukan.

"Selain daripada itu semua agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan juga digesa untuk sama-sama mengambil inisiatif masing-masing untuk turut serta dalam membanteras denggi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya aktiviti semburan kabus yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan merupakan tindakan bagi membunuh nyamuk dewasa dengan segera pada masa itu sahaja.