MALAYSIA
Kes denggi menurun 58.6 peratus - Dzulkefly

Orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran gejala demam atau tanda-tanda jangkitan denggi. - Gambar hiasan/Pexel
KUALA LUMPUR: Kes denggi di Malaysia menurun kepada 32,299 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 5 Julai tahun ini berbanding 78,068 kes dalam tempoh sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 58.6 peratus.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam tempoh itu, sebanyak 21 kematian turut dilaporkan berbanding 65 kematian dalam tempoh sama pada 2024.
"Penurunan ini bukan tiket untuk rakyat berasa lega memandangkan di peringkat global, peningkatan kes denggi menunjukkan trend yang amat membimbangkan," katanya ketika berucap pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Hari Denggi ASEAN 2025 di Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad.Dzulkefly berkata statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan di peringkat global, kes denggi meningkat daripada 505,430 pada 2000 kepada 14.3 juta pada 2024 iaitu peningkatan melebihi 28 kali ganda.
Beliau berkata statistik WHO mendapati jumlah kematian akibat denggi di seluruh dunia juga meningkat daripada 960 pada 2000 kepada 9,508 pada 2024 iaitu peningkatan hampir 10 kali ganda dalam tempoh 25 tahun.
Sehubungan itu, bagi membendung kes denggi di negara ini, beliau berkata pelbagai langkah akan terus diambil menerusi pendekatan menyeluruh negara bagi memastikan rakyat mempunyai kesedaran tinggi tentang kebersihan persekitaran dan membudayakan amalan pencegahan denggi dalam kehidupan seharian.
"Ia merangkumi aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan di luar rumah dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu serta menjadikan inisiatif 'One Hour Malaysia Clean Up' sebagai aktiviti rutin bulanan.
"Orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran gejala demam atau tanda-tanda jangkitan denggi," katanya.
Gotong-royong hari ini melibatkan warga Perumahan Awam Seri Kota Bandar Tun Razak, sukarelawan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami