Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 29 Januari 2026.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 29 Januari 2026.
Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Datuk Mohd Razali Alias didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah AS$20,000 serta bayaran keseluruhan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan bersasar ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Malaysia, khususnya India dan Bangladesh sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mencegah penularan virus Nipah.
Kadar kematian akibat jangkitan virus Nipah boleh mencecah antara 40 hingga 75 peratus, walaupun kadar penularan jauh lebih rendah berbanding COVID-19.
Kerajaan menyasarkan Malaysia sebagai Hab Halal Global melalui pelaksanaan lima inisiatif strategik berimpak tinggi, termasuk pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan.
Sektor pertanian negara harus bergerak seiring dengan arus modenisasi dan tidak lagi bekerja mengikut cara lama, tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mahkamah Tinggi memerintahkan ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak selepas membenarkan tuntutan saman fitnahnya terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin dan pempengaruh Nurpais Ismail.
Seramai 138 mangsa termasuk 57 kanak-kanak, yang dipercayai dijadikan sebagai hamba abdi moden dengan dipaksa bekerja di pelbagai sektor, diselamatkan menerusi Op Pintas Khas Pembanterasan Pemerdagangan Orang yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, pada Rabu.
Rakyat Malaysia yang melancong ke India dan mereka yang menetap di negara itu digesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan virus Nipah, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada Khamis.
Seorang pemilik premis makanan di Teluk Intan berdepan tindakan undang-undang selepas didapati mempamerkan ayat suci al-Quran dan simbol berkaitan di dalam restoran sehingga menimbulkan kekeliruan tentang status halal makanan yang dijual.
Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu e-waste.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


