KUCHING: Kes positif COVID-19 di Sarawak dijangka meningkat dalam tempoh beberapa minggu ke hadapan kesan daripada peningkatan ujian saringan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Penasihat JPBN Sarawak, Seri Dr Sim Kui Hian melalui kenyataan di Facebook rasminya mendedahkan situasi itu sudah berlaku dengan lonjakan kes positif COVID-19 yang direkodkan semalam (2,992 kes).

"Kita menjangkakan peningkatan kes baharu dalam minggu depan ekoran pembukaan beberapa pusat saringan COVID-19.

“Tidak seperti di negeri yang lain mereka hanya melakukan ujian saringan terhadap individu yang bersimptom dan pastinya kes mereka akan menurun dengan ketara,” katanya.

Dr Sim menambah, kerajaan negeri juga telah membekalkan kit ujian RTK antigen yang boleh memberikan keputusan dengan cepat.

"Pusat Sehenti COVID-19 (COSC) di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah menggunakan kit ujian RTK antigen yang dibeli melalui kerajaan negeri menerusi permintaan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bernilai RM2 juta.

“Sebahagian daripada 2,774 individu atau 50 peratus daripada mereka yang datang menjalani ujian saringan di COSC hari ini (2 September) telah menggunakan kit berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berharap Sarawak dapat memulakan program vaksinasi bagi penduduknya di bawah umur 18 tahun secepat mungkin.

“Sarawak kini dihuni oleh lebih kurang 29 peratus penduduk di bawah 18 tahun, kita mahu memulakan vaksinasi bagi mereka yang berumur 16 dan 17 tahun dahulu dan 12 hingga 15 secepat yang mungkin.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga telah meluluskan vaksin Phizer untuk kedua-dua kumpulan umur ini dan mungkin juga untuk akan datang NPRA akan membenarkan mereka yang berusia tiga hingga 11 tahun divaksin,” katanya.