Berlaku penurunan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada bulan Ogos di Negeri Sembilan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, terdapat penurunan sebanyak 164 kes (27.3 peratus) berbanding dengan jumlah kes dilaporkan pada Julai 2018.

“Manakala bagi tempoh Januari sehingga 31 Ogos pula, jumlah kes dilaporkan sebanyak 2,429 kes berbanding hanya 656 kes pada tempoh sama tahun 2017 (peningkatan 270.3 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan komited dalam menangani penularan wabak penyakit HFMD.

Katanya, beberapa langkah kesedaran telah diambil bagi memastikan wabak ini dapat ditangani.

“Antaranya kita melaksanakan radio talk di stesen radio pada 9 Ogos lalu oleh Dr Hazlina Yahaya, seterusnya fokus kita turut ambil kira di tadika.

“Sesi Town Hall Meeting bersama pengusaha-pengusaha tadika telah diadakan sepanjang tempoh 9 Ogos hingga 16 Ogos lalu melibatkan sebanyak 1,313 peserta dari 913 premis. Program outreach HFMD di pasar-pasar pagi dan pasar tani di pelbagai daerah juga dilakukan,” katanya.

Veerapan berkata, selain itu, sesi edaran hand sanitizer kepada 39 sekolah di derah Tampin juga telah dibuat pada 18 Ogos.