NATIONAL
Kes Ismail Sabri: 'Siasatan baru capai 15 hingga 20 peratus' - KP SPRM

Azam menjelaskan siasatan kes itu masih di peringkat awal kerana melibatkan proses pengesahan dokumen dan aset yang diisytiharkan.
PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini baru mencapai antara 15 hingga 20 peratus.
Demikian kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menjelaskan siasatan kes itu masih di peringkat awal kerana melibatkan proses pengesahan dokumen dan aset yang diisytiharkan.
“Setakat ini, siasatan baru dalam 15 ke 20 peratus. Beliau sudah membuat pengisytiharan, tetapi yang penting bagi kami adalah memastikan sama ada apa yang diisytiharkan itu benar ataupun sebaliknya.
“Kami akan memanggil beliau dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi, kerana ada beberapa dokumen tambahan yang diminta daripada pihak beliau. Kes ini masih berjalan dan ia berhubung pengisytiharan harta,” katanya kepada media hari ini.Tambah beliau, siasatan kes seumpama ini lazimnya mengambil masa kerana SPRM perlu mendapatkan pelbagai dokumen sokongan dan mengesahkan punca harta yang diisytiharkan.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat ketidakbenaran atau kekurangan dalam pengisytiharan tersebut, ia boleh menjadi satu kesalahan.
“Adalah menjadi tanggungjawab individu yang menerima notis seperti beliau, untuk menjelaskan punca harta dan sebagainya... bagi memuaskan hati kami sebagai agensi yang mengeluarkan notis tersebut,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram dipercayai berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami