KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd pernah gagal dalam penilaian kontraktor kerana mempunyai projek sakit serta prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan sebelum syarikat itu dilantik bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff, 54, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan di kementerian berkenaan berkata syarikat tersebut lulus penilaian pada peringkat pertama dan kedua, namun gagal pada penilaian peringkat ketiga.
"Saya sahkan syarikat KCJ Engineering telah dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor melalui tiga peringkat Metadologi Penilaian iaitu penilaian peringkat pertama (syarat mandatori), penilaian peringkat kedua (keupayaan kewangan) dan peringkat ketiga (keupayaan teknikal).
"Saya sahkan ulasan dan syor Jawatankuasa Penilaian Kontraktor yang dinyatakan dalam Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bertarikh 26 Feb 2021 ialah Jawatankuasa Penilaian Kontraktor mendapati KCJ Engineering telah lulus kriteria penilaian. Jawatankuasa Penilaian Kontraktor dengan ini mengesyorkan KCJ Engineering untuk pelaksanaan projek ini secara rundingan terus kepada Menteri Kewangan," katanya dalam pernyataan saksi.
Menurut saksi itu, KCJ Engineering memohon bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan.
Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Rosni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bagi program Jana Wibawa berkata perkara mengenai kegagalan peringkat ketiga itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 15 Dis 2020 dan penilaian terhadap syarikat kejuruteraan dan pembinaan berkenaan susulan cadangan pelantikan yang dikemukakan oleh Muhyiddin iaitu Perdana Menteri ketika itu.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam keterangannya di mahkamah berkata KCJ Engineering adalah antara 54 syarikat dicadangkan perdana menteri ketika itu menerusi surat bertarikh 13 Nov 2020 bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Berhubung penilaian semula syarikat KCJ Engineering, Rosni berkata Kementerian Kewangan telah menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya penilaian semula dilakukan kepada syarikat berkenaan, malah keputusan Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tidak dikongsi dengan mana-mana pihak.
Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, sekiranya tiada surat dikemukakan oleh PMO kepada Kementerian Kewangan berkenaan syarikat KCJ Engineering, apakah tindakan jawatankuasa (penilaian) jika syarikat itu gagal atau tidak lulus pada peringkat pertama, kedua atau seterusnya.
Rosni menjawab "Jika Bahagian Perolehan tidak mendapat arahan daripada Pejabat Menteri Kewangan, kami tidak akan melakukan apa-apa tindakan. Jadi setelah penilaian dibuat...syarikat gagal, kami akan berhenti di situ".
Beliau berkata berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor yang bersidang pada 26 Feb 2021, mendapati KCJ Engineering lulus semua kriteria dikehendaki dalam ketiga-tiga penilaian.
“Kami menyediakan memorandum kelulusan untuk mengesyorkan syarikat itu sebagai kontraktor projek berkenaan menerusi rundingan terus,” kata Rosni.
Pada prosiding sebelum ini, Pegawai Operasi Maybank Cawangan Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, memberitahu mahkamah bahawa terdapat empat kemasukan wang berjumlah RM800,000 ke akaun Bersatu daripada KCJ Engineering pada 1 Sept 2022.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
-- BERNAMA