Kes kematian pengawal keselamatan diklasifikasi semula sebagai bunuh

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata siasatan kes berkenaan telah dikemas kini susulan kematian pengawal keselamatan itu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini pada 13 Okt lepas, sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata siasatan kes berkenaan telah dikemas kini susulan kematian pengawal keselamatan itu.
"Kes ini pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
"Setelah mangsa meninggal dunia, kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata suspek, seorang lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai penyewa unit di kondominium berkenaan, masih dibebaskan di bawah jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Ahmad Sukarno berkata polis juga telah merampas satu pemetik api yang menyerupai pistol daripada suspek.
Beliau berkata mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis mendakwa suspek telah mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, R. Chandran, diserang dan dicederakan oleh seorang penyewa lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ipoh ketika bertugas di pos kawalan pada 13 Okt lepas.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek bertindak menampar, menumbuk dan memijak badan mangsa selepas permintaannya untuk ditemani ke blok lain ditolak kerana mangsa tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dirawat di Hospital Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang, namun pada malam hari sama, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


