Skip to main content

Malaysia

Kes khianat bakar kenderaan di Puchong selesai, 12 individu ditahan

81757501178_TBgari.jpg
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun. - Gambar hiasan

SHAH ALAM: Kes khianat bakar kenderaan dan ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong yang berlaku minggu lepas dianggap selesai selepas polis menahan 12 individu dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.

Advertisement

“Daripada 12 individu yang ditangkap, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan manakala lima lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis termasuk wanita terbabit yang merupakan isteri seorang suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan dilakukan menerusi operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dari 12 Mac hingga semalam di beberapa lokasi.

Shazeli berkata polis turut merampas tiga kereta iaitu Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera selain dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16 serta 14 telefon bimbit, sebuah topi keledar dan pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.

Semakan mendapati lima daripada tujuh suspek yang masih ditahan memiliki rekod jenayah pelbagai kes namun ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua tangkapan didapati negatif dadah.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Shazeli juga berkata siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati yang membawa kepada tindakan khianat serta ugutan jenayah.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis berjaya menahan individu yang dipercayai dalang utama kejadian, dan mengesahkan setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang elemen penglibatan kongsi gelap.

Shazeli turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau provokasi di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam sementara siasatan dilengkapkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video