KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan kes taun atau kolera dikesan di daerah Petaling, Selangor.

“Jabatan Kesihatan Selangor telah mengesan satu kes kolera di daerah Petaling, Selangor,” kata Ahli Parlimen Rembau itu dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya hanya minum air yang telah dirawat atau dididihkan dan mengelakkan makanan mentah serta menjaga kebersihan diri.

Jelasnya, maklumat lanjut berhubung kes kolera tersebut akan diperincikan kelak.


Penyakit kolera atau taun merupakan penyakit bawaan air dan makanan yang berpunca daripada jangkitan bakteria.

Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit manakala gejala serius boleh membawa maut akibat dehidrasi yang teruk.