KUANTAN: Polis Pahang merekodkan lebih RM4.8 juta kerugian melibatkan 169 kes komersial bermula 1 hingga 31 Januari lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 158 adalah kes penipuan yang merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kes jenayah komersial.

Katanya 101 tangkapan turut berjaya dilakukan dalam tempoh tersebut.

"Meskipun pelbagai inisiatif pencegahan dan nasihat kesedaran telah diberikan, kita lihat ia (kes penipuan) masih berlaku. Masyarakat dinasihatkan agar jangan mudah terpedaya dengan ugutan serta rayuan melalui media sosial termasuk menerusi panggilan telefon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Menurut beliau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) telah diminta untuk meningkatkan dan mempergiatkan kempen kesedaran bagi membanteras jenayah komersial.

Selain itu, Ramli berkata indeks jenayah Pahang bagi Januari lepas adalah 154 kes berbanding tempoh yang sama pada 2021 sebanyak 204 kes iaitu penurunan 50 kes, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga telah melakukan 1,170 tangkapan sepanjang Januari.

Bagi kes kemalangan jalan raya pula, 553 kes dilaporkan sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina berbanding 650 kes ketika Op Selamat 16 pada 2020.

Pada majlis itu, Ramli turut memakaikan pangkat kepada 18 pegawai rendah polis yang dinaikkan pangkat, selain menyerahkan van baharu jenis Higer Ace untuk kegunaan 11 Ibu Pejabat Polis Daerah di Pahang.

-- BERNAMA