Seorang lagi mangsa keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, di sini, meninggal dunia petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia pada jam 4.23 petang ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Terdahulu, dua rakannya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi.

BACA: Dua penuntut maut, dua kritikal terhidu karbon monoksida ketika tidur dalam kereta

BACA: Kes lemas tidur dalam kereta: Berhenti rehat sebab pening, tidak sihat

Ketika ini, seorang lagi rakan mereka yang juga kembar kepada Nor Adilah, yang kritikal masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan di stesen minyak berkenaan.