KOTA KINABALU: Peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah sejak kelmarin yang melibatkan penghuni penjara di Kota Kinabalu dan Tawau adalah disebabkan saringan besar-besaran yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sehubungan itu, pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin berkata, peningkatan kes itu diyakini boleh dikawal dengan segera menerusi koordinasi pasukan kawalan serta bilik gerakan di semua daerah.

"Kita sedia maklum bahawa penjara merupakan tempat yang tertutup dan jangkitan mudah berlaku.

"Apabila berlaku kes, Kementerian Kesihatan akan membuat saringan meluas kepada semua anggota dan tahanan dalam penjara... Hal ini menybabkan peningkatan kes mendadak," katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Isnin.

BACA: 666 positif hari ini, dua penjara penyumbang utama kes COVID-19 di Sabah

Ditanya sama ada pihaknya akan memberi vaksin kepada penghuni penjara, beliau mendedahkan pihaknya berusaha mempercepatkan pemberian vaksin bukan hanya kepada penghuni penjara tetapi seluruh rakyat di Sabah.

"Memang matlamat kami adalah untuk memberi vaksinasi secepat dan sebanyak mungkin untuk rakyat Sabah. Namun, kami masih menunggu bekalan vaksin kerana kita perlu memberi perhatian dan keutamaan kepada negeri-negeri yang mempunyai kes yang sangat tinggi," katanya.

Tambah Dr Rose Nani, sehingga Julai 2021, Sabah menerima lebih 700 ribu vaksin dan mempertingkatkan pemberian vaksin di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebanyak dua kali ganda khususnya di PPV yang mempunyai populasi tinggi.

Selain itu, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok, Dr Rose Nani menasihati umat Islam di Sabah agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.