Kes kematian N. Dharmendran tidak sepatutnya dibincang di luar mahkamah kerana boleh mendatangkan prejudis dan subjudis terhadap kes itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ini kerana kes itu belum diputuskan di mahkamah malah, keempat-empat anggota polis yang dituduh terlibat dalam kes itu akan dipanggil untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam bahawa suruhanjaya itu mendapati kematian tahanan N.Dharmendran pada 2013 adalah akibat daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Khalid berkata kenyataan Yaacob, yang dibuat berdasarkan laporan EAIC, melahirkan tanggapan bahawa Polis Diraja Malaysia gagal mengambil tindakan terhadap keempat-empat anggota terlibat.

"Malah, dari peringkat awal lagi siasatan terhadap mereka dijalankan dengan menyeluruh, rapi dan telus," katanya.

Khalid berkata pihak polis tidak pernah melindungi pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah malah, empat anggota yang terlibat dengan kes berkenaan telah disiasat secara menyeluruh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dituduh pada 5 Jun 2013.

Menurutnya empat anggota polis itu dipanggil membela diri dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 Mei ini.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei 2013 ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL).

Susulan itu, empat anggota polis dari IPK KL ditahan dan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Pada 12 Dis 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiadanya prima facie terhadap mereka.