MELAKA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sentiasa membuat langkah susulan setiap syor atau cadangan tindakan bagi setiap kes integriti yang dilaporkan kepada pihaknya terutama melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah seliannya.

Pesuruhjaya EAIC Tan Sri Mahmood Adam berkata tindakan itu bagi memastikan setiap aduan yang diterima terutama daripada rakyat dapat diselesaikan dengan baik sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan agensi penguatkuasaan terlibat.

"Ada syor atau tindakan yang EAIC kemukakan kepada agensi penguatkuasaan seperti gantung kerja dan potong gaji dikaji semula oleh agensi berkenaan kerana mereka juga ada garis panduan atau hukuman yang telah ditetapkan.

"Jika mereka tidak ikut syor yang kita kemukakan, kita akan buat susulan mengapa cadangan berkenaan tidak diikuti dan jika kita tidak berpuas hati, kita akan meminta penjelasan daripada agensi terlibat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program ERAT (Encouraging Responsibility, Accountability, Trustworthiness) Bersama Masyarakat Negeri Melaka yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki.

Mahmood berkata EAIC sentiasa telus serta berlaku adil kepada pihak pengadu dan pegawai atau agensi penguatkuasaan terlibat malah setiap aduan yang diterima akan dinilai serta dikaji dengan teliti, dan sekiranya berasas akan disiasat dengan terperinci.

"Justeru, stigma seperti EAIC suka mencari salah dan hanya membuka aib penguat kuasa harus dikikis daripada persepsi khususnya dalam kalangan penguat kuasa," katanya.

-- BERNAMA