KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dari National Feedlot Corporation (NFCorp), bersama-sama tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dibebas dan dilepaskan daripada saman kerajaan membabitkan RM253.6 juta.

Hakim Anand Ponnudurai dalam penghakiman berkata, tiada berlaku sebarang salah guna atau pecah amanah dalam mana-mana urusniaga yang dijalankan oleh NFCorp.

Begitu pun, hakim memutuskan NFCorp perlu mengembalikan sejumlah pinjaman yang tidak digunakan sebanyak RM33 juta kepada Kerajaan. 

Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Asliza Ali mewakili kerajaan selaku plaintif manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili defendan-defendan.

Sementara itu, Kirubakaran dalam kenyataan bersama dengan 10 defendan memaklumkan, selain Mohamad Salleh dan tiga anaknya, enam lagi defendan lain turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

"Mahkamah juga menyatakan bahawa tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran “fiduciary duties” oleh defendan-defendan.

"Mahkamah Tinggi turut mendapati bahawa Kerajaan Malaysia melanggar Perjanjian Pelaksanaan apabila mereka gagal membina "export quality abattoir" dan melanggar Perjanjian Pinjaman apabila mereka membatalkan perjanjian tersebut secara tidak sah," demikian menurut kenyataan itu.

Enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Perbicaraan itu bermula 2021, plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCORP pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFC Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Dalam perbicaraan pada November tahun lalu, Mohamad Salleh memberitahu bahawa beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan bukan kerajaan akibat kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.