PUTRAJAYA: Semua pihak diseru akur kepada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam sentiasa diberikan ruang sepenuhnya untuk mengkaji isu berkaitan kompetensi DUN dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata semua cadangan jawatankuasa itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, akan dikemuka kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenan.

"Semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Mohd Na'im juga berkata pihaknya menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin supaya setiap perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah.

-- BERNAMA