IPOH: Polis telah menerima 12 laporan setakat ini berhubung kes seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata, bilangan itu termasuk juga laporan daripada orang awam.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk terus tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan tidak hanya mendahului siasatan polis di media-media sosial.

Menurutnya, tuduhan-tuduhan negatif yang dibuat di dalam media sosial dibimbangi akan mengganggu siasatan pihak polis.

Beliau mengulangi jaminan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus demi menegakkan keadilan dan kebenaran di dalam kes tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pihak polis akan mendapatkan bantuan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengesan kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin terdapat di sekitar kawasan berkenaan. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pula berkata, pihaknya bersedia untuk menghulurkan bantuan itu.

Katanya, walaupun MBI tidak memasang CCTV sendiri di kawasan berkenaan, pihaknya boleh mendapatkannya daripada jawatankuasa penduduk.

Pada Sabtu, Mohd Yusri berkata, polis akan segera melengkapkan kertas siasatan kes tersebut bagi membolehkan pendakwaan dilakukan di mahkamah dalam masa secepat mungkin.

Katanya, siasatan polis akan turut melibatkan rakaman video papan pemuka (dashcam) pemilik kenderaan serta CCTV premis berhampiran.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari pada Jumaat, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Susulan itu seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun berpangkat Deputi Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu telah direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan.