IPOH: Sampel ujian air kencing pegawai kanan polis yang ditahan berhubung kes kematian seorang pelajar lelaki akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini, negatif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keputusan itu diperoleh hasil saringan dijalankan ke atas lelaki berkenaan selepas ditahan Jumaat lepas.

"Ujian urin telah dibuat dan disahkan negatif. Polis juga ada mengambil sampel darah dan sedang menunggu keputusan daripada pihak patalogi," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau meminta orang ramai tidak memberikan sebarang andaian negatif berhubung siasatan kes itu terutama di media sosial.

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada polis termasuk tampil menyalurkan maklumat yang dapat membantu siasatan dijalankan.

"Saya baca semua yang tular di media sosial, kononnya polis akan melindungi suspek kerana dia pegawai kita. Tuduhan itu fitnah dan tidak benar sama sekali," katanya.

Pegawai kanan berusia 44 tahun berpangkat Deputi Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu telah direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari pada Jumaat, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian