Skip to main content

Malaysia

Kes pencemaran sumber air di Selangor turun 65 peratus pada 2025

SHAH ALAM, 24 Nov -- Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.  --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jamaliah berkata, prestasi itu mengukuhkan kestabilan sistem bekalan air negeri apabila tiada henti tugas LRA utama direkodkan sejak pelaksanaan ZDP pada Ogos, dua tahun lepas. - Bernama

SHAH ALAM: Kes kecemasan pencemaran sumber air di Selangor mencatat penurunan ketara, iaitu sebanyak 65 peratus pada tahun lepas berbanding 2024, sekali gus menandakan keberkesanan pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dalam mengekang pencemaran yang berpunca daripada aktiviti industri.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata prestasi itu mengukuhkan kestabilan sistem bekalan air negeri apabila tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama direkodkan sejak pelaksanaan ZDP pada Ogos, dua tahun lepas.

Advertisement

“Sejak pelaksanaan ZDP, inisiatif di bawah Lembaga Urus Air Selangor atau LUAS, tiada sebarang insiden henti tugas LRA utama akibat pencemaran sumber air direkodkan, ia mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna domestik dan sektor ekonomi.

“Bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) bagi sungai utama hingga Oktober 2025 berada pada Kelas II dan ke atas, membuktikan sumber air masih selamat untuk pembekalan air mentah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu juga menghasilkan trend penurunan konsisten apabila hanya 28 kes pencemaran sumber air dilaporkan pada 2025 berbanding 80 kes pada 2024, 76 kes pada 2023, 71 kes pada 2022 dan 64 kes pada 2021.

Jamaliah berkata penurunan itu turut mencerminkan peningkatan pematuhan dalam kalangan premis industri terhadap pengurusan air sisa dan sistem rawatan yang lebih cekap.

“Penurunan 65 peratus ini membuktikan ZDP berkesan dalam mengurangkan risiko pencemaran sumber air dan meningkatkan disiplin pengurusan efluen dalam kalangan industri.

“Beberapa kilang telah berjaya melaksanakan sistem kitar semula dan rawatan air sisa yang mematuhi piawaian, seterusnya mengurangkan impak operasi mereka terhadap sungai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamaliah berkata pelaksanaan ZDP telah memperkukuh Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 dengan mensyaratkan pengurusan air sisa sebelum dilepaskan ke sumber air.

Dasar itu dijalankan melalui Sistem Pelesenan Pelepasan Efluen (LEDs) yang menekankan pemantauan kualiti dan kuantiti termasuk pelaporan bulanan kepada LUAS dan pengenaan caj air kembalian, kata Jamaliah.

“Premis berlesen diwajibkan melakukan pemantauan kendiri dengan pensampelan efluen di makmal bertauliah dan menyerahkan laporan setiap tiga bulan kepada LUAS. Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya had piawaian tidak dipatuhi bagi memastikan kualiti sumber air tidak terjejas,” katanya.

Jamaliah berkata kerajaan negeri komited memperkukuh dasar, penguatkuasaan serta kerjasama strategik demi kelestarian sumber air untuk generasi kini dan akan datang, lebih-lebih lagi apabila keberhasilan ZDP di Selangor berjaya menarik minat beberapa kerajaan negeri lain untuk mencontohi pendekatan yang sama.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video