KOTA BHARU: Sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dikesan mengubah modus operandi dengan menggunakan laluan laut dan mendarat di sepanjang Sungai Kelantan selepas kawalan keselamatan di Sungai Golok diperketat.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata perubahan taktik itu dikesan susulan tindakan penguatkuasaan agresif di sepanjang Sungai Golok yang sebelum ini menjadi laluan utama melalui lorong tikus.
Advertisement
Beliau berkata kawalan rapi dan penugasan berterusan di pos-pos kawalan PGA menyebabkan sindiket gagal membolosi sempadan, sekali gus mendorong mereka mengalihkan lokasi pendaratan ke kawasan kampung terpencil di sepanjang Sungai Kelantan yang jauh daripada pemantauan pasukan keselamatan.
"Pada ketika ini, kita dapati sindiket tidak lagi tertumpu kepada laluan biasa di Sungai Golok, mereka telah menukar modus operandi dengan menggunakan laluan laut sebelum memasuki Sungai Kelantan.
"Penyeludup akan menggunakan bot untuk membawa pendatang tanpa izin ini melalui anak sungai di sepanjang Sungai Kelantan dan mendarat di kawasan yang kurang berpenduduk serta jauh dari pos kawalan PGA," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata setakat 1 Jan hingga semalam, PGA berjaya menahan 84 pendatang tanpa izin membabitkan 75 lelaki dan sembilan wanita dalam beberapa operasi berasingan di sekitar kawasan berkenaan.
Ahmad Radzi berkata daripada jumlah itu, warga Myanmar mencatat tangkapan tertinggi, iaitu 31 orang (25 lelaki dan enam wanita); diikuti Bangladesh (19 lelaki); Thailand 17 orang (15 lelaki dan dua wanita); Nepal 10 orang (sembilan lelaki dan seorang wanita); India (empat lelaki); Indonesia (dua lelaki); serta Nigeria (seorang lelaki).
"Kesemua mereka yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"PGA akan terus memperkukuh rondaan darat dan air, selain meningkatkan risikan bagi mengekang sebarang cubaan sindiket mengeksploitasi laluan baharu," katanya.
-- BERNAMA