IPOH: Kes penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak bagi tempoh tiga tahun menunjukkan peningkatan di negeri ini menerusi data dari tahun 2020 hingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Koperasi, Salbiah Mohamed berkata, kes berkenaan terbahagi kepada empat jenis penderaan iaitu penderaan seksual, fizikal, emosi dan pengabaian, sama ada dibuang atau tiada ibu bapa.

Katanya, bagi tahun 2020, terdapat 332 kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku, disusuli dengan sedikit peningkatan pada tahun 2021 dengan 370 kes dan kes bagi maksud yang sama naik secara mendadak tahun lalu dengan 532 kes.

"Bagi kes sama untuk tahun semasa iaitu sehingga 30 November 2023, berlaku penurunan yang signifikan iaitu sebanyak 168 kes sahaja dilaporkan dan sedang diurus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kerajaan negeri sedar dan bersikap cukup kritikal terhadap kes berkaitan kanak-kanak ini yang sentiasa diberi perhatian yang secukupnya.

"Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi trend turun naik graf statistik kes penginayaan atau pengabaian kanak-kanak ini.

"Peningkatan mendadak berlaku pada tahun 2021 dan 2022 yang merupakan tahun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

"Dalam tempoh ini, tekanan dan kesulitan hidup rakyat yang terpaksa berkurung di rumah telah membuatkan emosi amat menekan sehinggakan kanak-kanak turut dijadikan mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, pola peningkatan kes tersebut tidak perlu dilihat sebagai satu sisi positif di mana timbulnya kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Jelas dapat dilihat, masyarakat mahu pun ibu bapa tampil untuk melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.

"Kesedaran yang menebal ini sudah pasti didorong oleh usaha yang berterusan oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, pujian harus kita zahirkan kepada semua agensi seperti JKM, bahagian D11 PDRM, WANITA Perak dan banyak lagi.

"Banyak usaha advokasi, kempen turun padang memberi penerangan malah melakukan tindakan susulan bagi kes-kes dan isu berkaitan kanak-kanak giat dilaksanakan," katanya.