GEORGE TOWN: Kes penipuan dalam talian di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sebanyak 45 peratus dengan sebanyak 2,363 kes direkodkan sejak Januari hingga September lepas berbanding 1,632 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagi menangani isu itu dengan efisien, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan beberapa langkah yang strategik dan berkesan.

"Antara usaha dilakukan ialah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang iaitu tangkapan dan pertuduhan di mahkamah serta kempen pencegahan jenayah komersial oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau menjawab soalan Lee Bong Heng (PKR-Kebun Bunga) yang ingin tahu kadar kes penipuan dalam talian yang direkodkan di Pulau Pinang dan langkah pihak berkuasa menanganinya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata PDRM turut menjalin kerjasama peringkat nasional dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Bank Negara manakala Financial Intelligence Unit untuk menyekat transaksi dana di peringkat antarabangsa.

"Orang ramai boleh menggunakan aplikasi "Semak Mule" yang dibangunkan oleh JSJK bagi memudahkan mereka membuat semakan ke atas nombor akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dalam siasatan polis.

"Orang ramai juga dinasihatkan menggunakan aplikasi ini sebelum membuat sebarang transaksi kewangan dalam talian," katanya

Menurut Chow jenayah penipuan dalam talian atau jenayah siber boleh ditakrifkan sebagai mana-mana perlakuan yang mempunyai niat dan dikaitkan dengan komputer melalui apa-apa cara menyebabkan mangsa menderita atau boleh menyebabkan penderitaan, kerugian dan berterusan.

Beliau berkata ia juga boleh merujuk kepada mana-mana aktiviti yang tidak sah dengan pengetahuan mengenai teknologi komputer digunakan untuk merealisasikannya.

-- BERNAMA