GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggerakkan 13 lori tangki air bermula semalam hingga 14 April ini sebagai langkah bersiap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual ketika Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata ia merupakan Pelan Kontigensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 kerana pihaknya menjangkakan penggunaan air ketika tempoh musim "balik kampung" dan Aidilfitri dari 7 April hingga Ahad ini mungkin bersamaan atau melebihi 927 juta liter sehari (JLH).

"Lori tangki ini termasuk tiga lori tangki Jumbo dengan kapasiti maksimum 40,000 liter setiap satu, bersedia untuk berkhidmat di beberapa kawasan kejiranan di Seberang Perai Selatan (SPS) serta beberapa kejiranan kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di Relau dan Bukit Belah, Daerah Barat Daya (DBD).

"Kami menggerakkan kumpulan lori tangki air sebagai langkah pencegahan dan mitigasi, bersama-sama 47 tangki air statik (kapasiti maksimum 2,000 liter). Jika perlu, penghantarannya akan diperluas dengan lebih banyak lori tangki atau melanjutkan tempoh untuk menangani permintaan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Meskipun keseluruhan status bekalan air di negeri ini terkawal buat masa ini, Pathamanathan meminta penduduk untuk menggunakan air dengan berhemat ketika sambutan hari raya kerana Pulau Pinang masih mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan simpanan air empangan berkurangan.

Pada Sabtu lepas, beliau menasihati penduduk di negeri ini agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus mulai bulan ini hingga Jun dan berhemat menggunakan air sehingga hujan tiba bagi menambah simpanan air mentah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

PBAPP merekodkan purata angka penggunaan air yang tinggi iaitu 927 JLH di Pulau Pinang pada Februari lepas, ia merupakan 50 JLH lebih tinggi daripada purata tahunan 877 JLH bagi 2023.

-- BERNAMA