KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,162 kes penipuan e-dagang dengan kerugian berjumlah RM57.73 juta telah dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun ini hingga 31 Okt.

Pegawai penyiasat (pelaburan bersindiket atau lain-lain jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman ASP Mohd Sa'adon Sabirin berkata trend penipuan e-dagang dilaporkan terus meningkat jika dibandingkan pada 2018 dengan 3,318 kes melibatkan kerugian berjumlah RM22.39 juta.

"Keadaan bertambah teruk pada 2020 apabila pandemik COVID-19 melanda yang mana 5,848 kes penipuan e-dagang dilaporkan apabila lebih ramai orang membeli dalam talian.

"Statistik ini adalah melibatkan mereka yang ditipu dan membuat laporan namun saya percaya di luar sana, masih ada tidak membuat laporan polis," katanya pada sesi webinar Penipuan e-dagang : Barang Hilang, Duit Melayang anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) malam tadi.

Mohd Sa'adon berkata jumlah keseluruhan kerugian dicatatkan bagi penipuan e-dagang untuk tempoh 2018 hingga Oktober tahun ini adalah bernilai RM149 juta.

Beliau berkata rakyat Malaysia terdedah kepada penipuan e-dagang berikutan peningkatan trend pembelian dalam talian, secara tidak langsung boleh menjadi mangsa penipuan jika tidak berhati-hati ketika membuat urusan jual beli.

Pada masa sama, beliau meminta agar mangsa penipuan e-dagang untuk membuat laporan polis bagi membolehkan maklumat dan data berkaitan scammer dikumpul untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, maklumat antaranya nombor telefon dan akaun bank yang diterima daripada laporan mangsa penipuan akan dikemaskini dalam aplikasi 'Semak Mule' bagi membolehkan orang ramai menyemak maklumat penjual sebelum membuat sesuatu urus niaga.

Sementara itu, pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pulau Pinang Sazuree Shuib menasihatkan peniaga e-dagang agar mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM BizTrust iaitu platform dibangunkan untuk melindungi pengguna dan mengekang aktiviti penipuan oleh peniaga yang menawarkan produk atau perkhidmatan secara dalam talian.

Menurutnya, sehingga 31 Okt tahun ini, sebanyak 625,000 perniagaan telah didaftarkan di bawah SSM BizTrust namun hanya 43,000 perniagaan masih aktif.

"SSM masih memberi promosi percuma untuk pendaftaran BizTrust sehingga 31 Dis ini bagi peniaga yang menjalankan perniagaan dalam talian.

"Jadi, dari situ pembeli boleh menyemak, yang mana SSM BizTrust berfungsi sebagai simbol bahawa perniagaan anda telah memenuhi dasar ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA