PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menangguhkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penukaran agama Islam secara unilateral tiga beradik oleh bapa mereka yang telah memeluk Islam, adalah tidak sah.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Suraya Othman, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Hashim Hamzah menangguhkan rayuan itu dan menghantar kes itu untuk pengurusan kes.

Rayuan itu ditangguhkan selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor memberitahu mahkamah, ada kes penukaran agama secara unilateral yang sama akan didengar di Mahkamah Persekutuan hari ini iaitu isu serupa akan dibangkitkan.

Peguam Sa'adiah Din, yang mewakili si ibu yang beragama Hindu dan tiga anaknya, tidak membantah untuk penangguhan rayuan itu.

MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor memohon untuk mengembalikan semula status penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak itu yang Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkannya sebagai tidak sah.

Pada 29 Sept 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan saman yang dikemukakan oleh si ibu untuk mengisytiharkan penukaran agama Islam ketiga-tiga anaknya yang ketika itu berusia 13, 11 dan lapan tahun, adalah tidak sah dan pemelukan agama itu tidak boleh didaftarkan oleh Ketua Pendaftar Muallaf Selangor.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes penukaran agama anak-anak guru tadika, M. Indira Gandhi.

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.

Dalam kes semalam di hadapan Mahkamah Rayuan, si bapa dan tiga anaknya telah memeluk Islam di sebuah masjid di Selangor pada Mac 2016.

Si bapa kemudian membawa ketiga-tiga anaknya ke Yayasan Pusat Hidayah di Taman Melawati untuk mengisi borang yang mengandungi maklumat pemelukan mereka ke agama Islam.

Si ibu yang beragama Hindu yang telah berpisah dengan suaminya, mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai pemelukan agama Islam oleh ketiga-tiga anaknya.

Kanak-kanak itu mendakwa mereka tidak bersetuju memeluk agama Islam.

Si ibu dan anak-anaknya memfailkan saman itu pada April 2018 terhadap bapa kanak-kanak itu, Ketua Pendaftar Muallaf Selangor, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, tuntutan terhadap kerajaan Selangor telah digugurkan.

-- BERNAMA