KUALA LUMPUR: Empat individu telah dipanggil polis bagi merakam keterangan berhubung kejadian melibatkan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengesan individu terlibat sebaik sahaja kejadian tersebut tular menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok.

"Empat individu telah dirakam keterangan berhubung kejadian tersebut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diharap tampil membantu pihak polis.

"Polis memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Sekiranya terdapat maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Muhammad Hazim Hussain di talian 019-7749678 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Pada Selasa, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan serta-merta terhadap video tular membabitkan kakitangannya yang didakwa mengasari orang awam di sebuah kedai serbaneka seperti tular di media sosial.

Prasarana menerusi satu kenyataan berkata, video berdurasi satu minit dua saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam Prasarana memukul seorang lelaki pada tarikh, masa dan lokasi yang belum dikenal pasti.

Menurut kenyataan itu, pihaknya memandang serius dakwaan suspek adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai pada video berkenaan.


*Berita asal di Sinar Harian